Kejayaan adalah sesuatu perkara yang sangat subjektif. Definisi kejayaan bagi setiap insan mungkin berlainan. Mungkin pada seseorang kejayaan itu berbentuk fizikal, memiliki kekayaan & bebas kewangan. Ada juga yang menggambarkan kejayaan itu lebih kepada bentuk rohani memiliki ketenangan jiwa & kesihatan.

sumber : Google image
Ayob (bukan nama sebenar) seorang nelayan di pantai timur. Menjalankan kehidupan harian dengan meraih hasil laut dengan tangkapan ikan, udang, dan lain-lain. Hasil dari usaha harian beliau, dapat untuk menyara keluarganya. Cukup makan dan keperluan harian. Berjaya membesarkan anak-anak dan menghantar mereka ke sekolah. Dalam masa yang sama beliau mungkin tidak tertekan dengan kesibukan kehidupan di kota raya yang penuh dengan pencemaran. Beliau boleh hidup sihat kerana aktif bekerja, makan hasil lautan yang berkhasiat dan menikmati pemandangan alam yang indah.
Mungkin ini pilihan Ayob yang beliau sendiri pilih untuk hidup beliau walaupun beliau ada pilihan untuk hidup & kerja di kota raya yang pada mata ramai orang lain lebih menjamin dari segi kewangan kerjaya dan sebagainya. Jadi pada mata Ayob beliau sudah mencapai kejayaan yang beliau impikan.
Mungkin bagi setengah orang kejayaan itu datangnya dengan memiliki kekayaan dan harta yang banyak. Jadi ramai yang sibuk berkejaran sana sini, berlumba & tindas menindas diantara satu sama lain. Ada juga yang mencapai kejayaan dan kekayaan dengan ikhlas membantu ramai orang diluar sana. Menjalakan bisnes yang halal, beretika dan menyelesaikan masalah orang ramai dan hasil dari kekayaan itu beliau membantu lebih ramai orang yang memerlukan, menjadi penyumbang zakat yang besar.
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya, Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia, Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu), Dan mereka yang menjaga kehormatannya, Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela, Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas, Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya, Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi – Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” (Al-Mukminun 1-11)
Dalam Islam, orang-orang yang mendapat kejayaan yang mewarisi syurga adalah dari kalangan orang yang khusyuk dalam solatnya, tidak melakukan perkara yang sia-sia, menunaikan zakat, menjaga kehormatan diri, mereka yang menjaga amanah dan janji dan yang menjaga solat. Jadi disinilah kunci kejayaan seseorang, jika ingin mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.
Sudah tentu matlamat kita sebagai orang Islam adalah untuk mendapat kejayaan di akhirat iaitu untuk memperoleh syurga jadi pilihlah untuk memiliki kejayaan di dunia dan akhirat, supaya apa yang kita bina dan tinggalkan didunia kelak menjadi bekalan kita di alam kubur nanti.
Jika bermanfaat sila share di fb page anda dan follow https://www.facebook.com/zulhilmimohdsalim